Yang Mulia Tuan Pengerusi Majlis, Pegawai Daerah, Ketua Kampung, tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Salam sejahtera saya ucapkan. Terima kasih juga kerana kalian dapat meluangkan masa untuk berkumpul di balai raya ini pada pagi ini.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Setiap orang pasti sanggup melakukan apa-apa sahaja demi menjaga kesihatan diri dan keluarga. Kesihatan yang baik membolehkan kita melakukan apa-apa jua kegiatan yang disukai.
Malangnya, berdasarkan pemerhatian saya, terdapat segelintir penduduk di kampung ini yang masih mengabaikan aspek kesihatan. Mungkin mereka tidak menyedari kesan pengabaian aspek tersebut terhadap kehidupan.
Seseorang yang mengabaikan kesihatan, iaitu tidak mengambil berat aspek pemakanan dan kebersihan diri serta tempat tinggal akan mudah diserangi penyakit. Akibat menghidapi pelbagai penyakit, pergerakannya terbatas. Dia juga tidak dapat melakukan aktiviti yang digemarinya lagi.
Pada hadirin yang saya hormati,
Kesejahteraan dan kebahagianan hidup tidak dapat kita nikmati sekiranya kita mengabaikan kesihatan. Sebaliknya, kita akan menghabiskan hayat dengan terbaring di atas katil di hospital, di samping terpaksa bergantung pada pelbagai jenis ubat yang amat pahit untuk ditelan.
Saya berharap agar penduduk di kampung ini sentiasa mengambil berat akan kesihatan diri dan keluarga masing-masing. Hal ini penting agar anda berupaya untuk menyumbangkan bakti kepada Negara.
Akhir kata, saya menyeru agar penduduk mengamalkan pemakanan yang seimbang dan mengambil berat aspek kesihatan demi mengekalkan kesihatan.
Sekian, terima kasih.
Nurul Akmal