Tuan
Aduan Tentang Pantai Yang Tercemar
Merujuk perkara di atas, saya, Nazleen Bte Ahmad, seorang pelajar dari Sekolah Menengah Tanjung Bunga ingin mengadu tentang pantai yang terletak berdekatan sekolah saya yang kian tercemar. Saya juga ingin memberi beberapa cadangan agar pihak tuan dapat mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi memajukan pantai ini sebagai destinasi pelancongan.
Pantai yang saya sebutkan di atas, dahulunya merupakan sebuah pantai yang indah dan bersih. Kebelakangan ini saya dapati terdapat sebilangan pengguna yang telah mengubah keadaan pantai ini. Kini, pantai tersebut penuh dengan sampah sarap. Sampah sarap ini boleh sahaja didapati di tepian pantai, tetapi juga di laut. Akibat daripada hal ini, banyak serangga dan binatang pemusnah sudah mula kelihatan berkeliaran di sana sini, membuat pantai tersebut tidak sesuai untuk aktiviti bersantai.
Saya harap denda yang lebih ketat dikenakan kepada sesiapa yang didapati bersalah mencemarkan kawasan pantai ini. Selain itu, pihak tuan juga boleh menganjurkan satu kempen yang boleh menimbulkan kesedaran di kalangan masyarakat negara ini tentang tanggungjawab mereka menjaga kebersihan dan keindahan pantai tersebut.
Akhir sekali, pantai yang bersih boleh menjadi satu daya tarikan para pelancong. Memandangkan ekonomi Singapura banyak bergantung kepada industri pelancongan, pantai tersebut boleh dijadikan sebagai satu daya tarikan pelancong. Selain daripada pantai yang bersih, saya sarankan agar pantai tersebut dibangunkan. Kemudahan ataupun perkhidmatan seperti sukan air mahupun pembinaan calet boleh difikirkan. Tentu sekali dengan adanya kemudahan dan perkhidmatan seperti ini, pantai ini dapat dimajukan lagi.
Saya amat berharap agar pihak tuan mengambil tindakan secepat mungkin bagi mengatasi masalah pantai yang tercemar ini. Saya juga berharap cadangan-cadangan yang telah saya berikan akan dipertimbangkan.
Yang benar
Nazleen Bte Ahmad
No comments:
Post a Comment