Gaya hidup sihat bolehlah ditakrifkan sebagai satu amalan kehidupan yang membawa impak positif kepada diri seseorang, keluarganya dan masyarakat. Antara contoh kehidupan yang sihat ialah individu tersebut hidup dengan penuh ceria tanpa mengalami sebarang masalah yang boleh menjejaskan kehidupannya untuk satu tempoh tertentu pula. Sudah pasti dalam kehidupan era moden yang begitu banyak tekanan ini gaya hidup sihat menjadi satu matlamat yang perlu dicapai segera. Oleh itu, terdapat pelbagai tindakan yang boleh dilakukan untuk mencapai matlamat ini.
Tindakan awal ialah seseorang itu perlu mengamalkan satu diet pemakanan yang seimbang dalam kehidupannya. Dalam keadaan kehidupan sebenar, ramai yang suka mengambil satu jenis makanan sahaja seperti hanya memakan daging tanpa mengambil sayur dalam diet mereka. Ketiadaan diet yang seimbanglah atau hanya menumpukan pemakanan mereka terhadap satu aspek sahaja yang menyukarkan seseorang untuk mencapai matlamat gaya hidup yang baik ini. Jelaslah, diet yang seimbang membolehkan kita semua mencapai satu kehidupan yang ceria kerana semua zat yang diperlukan oleh badan diperoleh menerusi pemakanan yang baik itu.
Selain itu, aktiviti senaman yang berkala mampu menjadikan kehidupan yang dijalani oleh seseorang itu lebih sihat dan menceriakan. Kita boleh menjalankan aktiviti berjalan atau berlari bersendirian atau melakukan aktiviti bersukan bersama-sama keluarga atau ketika hujung minggu untuk mendapatkan senaman sebegini. Aktiviti senaman sudah lama diakui oleh pakar perubatan mampu menjadikan sistem peredaran darah manusia lebih stabil dan baik serta menjadikan sistem imunisasi mereka lebih tinggi. Maka, semakin kerap senaman dilakukan maka semakin tinggilah tahap kesihatan seseorang itu kerana minda yang cerdas datangnya daripada badan yang cergas.
Gaya hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu. Mereka yang lebih terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain didapati lebih bermakna kehidupannya berbanding dengan individu yang suka bersendirian atau menyimpan masalah mereka. Sikap berkawan dan menghabiskan masa bersama-sama mereka menjadikan keperluan psikologi manusia dipenuhi dengan efektif. Sesungguhnya, aspek psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi untuk memperoleh gaya hidup yang sihat ini.
Pada masa yang sama sikap atau mentaliti positif penting dimiliki oleh seseorang itu untuk menangani tekanan kehidupan moden. Pemikiran yang positif menjadikan seseorang itu mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik tanpa tertekan. Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama tekanan di pejabat memerlukan satu persepsi positif daripada ahli masyarakat kita. Maka, semakin positif minda seseorang itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat yang mampu dicapainya kelak.
Kesimpulannya, gaya hidup yang sihat ini boleh diperoleh menerusi semua amalan yang dipaparkan tadi. Cuma sikap masyarakat yang masih memandang rendah kepentingan gaya hidup sebeginilah yang menyebabkan pelbagai masalah kesihatan timbul kelak. Kita semua perlulah memahami bahawa mencegah lebih baik daripada mengubatinya.
~Farah Nabilah~
Tq sangat membantu
ReplyDelete