Sebenarnya saya memang suka berkelah di tepi pantai kerana ingin mengalami perasaan ditiup angin sepo-sepoi bahasa yang sejuk nyaman itu. Jadi, apabila ayah dan ibu memberitahu bahawa mereka merancang untuk membawa saya ke pantai Port Dickson, saya berasa begitu bersemangat untuk ke sana. Hati saya begitu ceria menanti saat tersebut malah saya tidak sabar sebenarnya.
Perjalanan ke sana dari Kuala Lumpur hanya mengambil masa sejam lebih sahaja. Entah sama ada perasaan gembira saya atau sebab yang lain, perjalanan ke pantai begitu pantas berlalu. Sekelip mata saya sudah berada di tepi pantai bersama-sama ayah dan ibu. Orang ramai juga sudah berkerumun di tempat-tempat strategik untuk menikmati suasana yang nyaman itu. Hati semua nampak girang belaka.
Ayah dan ibu menyuruh saya membentangkan plastik besar untuk dijadikan tempat alas kami duduk berehat. Kerja itu saya dilakukan dengan penuh kepatuhan. Tangan saya memastikan tidak ada pasir pantai yang melekat di atas alas plastik itu. Kemudian, ibu meletakkan beberapa bekas makanan dan minuman manakala ayah segera membuka makanan itu. Kami segera menikmati hidangan yang sudah dimasak oleh ibu itu.
Sambil makan, ayah dan ibu bertanyakan saya tentang pelajaran di sekolah. Saya memberitahu bahawa pelajaran saya tiada masalah begitu juga dengan hubungan kawan-kawan yang lain. Ayah dan ibu mengambil kesempatan masa bersantai di pantai ini untuk berinteraksi dengan saya. Mereka juga memberitahu bahawa mereka mahu saya menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pelajaran kerana peperiksaan semakin hampir. Saya mengangguk kepala tanda faham dan bersetuju.
Setelah selesai makan ibu menyuruh saya berjalan di sepanjang pantai itu sementara ibu dan ayah duduk berbual antara mereka. Saya bersetuju dan mula mengatur langkah dengan penuh gembira. Sambil berjalan saya melihat pelbagai telatah pengunjung bersama-sama keluarga mereka. Ada yang sedang bermain bola, ada yang mendengar radio sambil baring dan ada yang kejar mengejar antara kawan. Pada masa yang sama saya juga mendengar suara-suara gelak ketawa antara mereka itu. Alangkah bagusnya jika setiap hari begini kata hati kecil saya.
Kami berada di pantai itu hampir tiga jam sebelum menaiki kereta semula untuk menuju ke kota raya. Di dalam kereta ayah sempat bertanya kepada saya tentang perasaan saya. Lalu, saya memberitahu bahawa saya begitu gembira kerana muka saya dihembus oleh tiupan angin laut yang begitu saya suka selama ini. Mak dan ayah hanya ketawa sahaja apabila mendengar kata-kata saya itu. Saya pula tersenyum sambil mengucapkan terima kasih kepada ayah dan ibu di dalam hati saya kerana membawa saya ke pantai.
anis zafirah