Minuman berkarbonat sememangnya popular di kalangan pengguna. Hakikatnya, biar apa jenamanya, secara umum, kandungan minuman berkarbonat adalah sama — banyak gula.
Selalunya soal kesihatan dan aspek pemakanan sering ‘dipinggirkan seketika’ terutamanya pada musim perayaan. Walaupun tahu minuman berkarbonat tinggi kandungan gulanya, kebanyakan kita menghidangkannya kepada keluarga mahupun tetamu tanpa rasa bersalah.
Tarikan iklan yang menceritakan ‘keasyikan’ menikmati minuman ringan dan berkarbonat memang sukar dilawan. Malah, lebih membimbangkan, minuman berkarbonat juga menjadi antara daya penarik utama di kantin sekolah, termasuk sekolah rendah. Sedar atau tidak, kanak-kanak akan menjadi mangsa kerana kealpaan kita. Kanak-kanak antara golongan paling suka minum minuman berkarbonat hingga kadangkala ada yang langsung menolak apabila diberikan air kosong. Jika minum pun hanya seteguk dua, itupun selepas dipaksa.
Kajian mendapati, pengambilan minuman ringan dan berkarbonat yang berlebihan akan menyumbang kepada masalah kesihatan, terutama berlebihan berat badan dan obesiti. Minuman berkarbonat sebenarnya tidak mengandungi zat, tetapi banyak kalori yang datang daripada gula. Banyak bukti saintifik menunjukkan ia ada kaitan langsung dengan pertambahan berat badan.
Masalah pertambahan berat badan ini menjadi satu faktor risiko kepada penyakit kencing manis di kalangan orang dewasa muda. Pertambahan berat badan ini adalah proses yang sentiasa berlaku sebagaimana peningkatan usia. Gabungan dua faktor ini juga mendedahkan seseorang kepada risiko serangan jantung dan strok.
No comments:
Post a Comment