Apakah kerja sambilan? Sebenarnya kerja sambilan ini merujuk kerja sementara yang biasanya dilakukan oleh golongan remaja terutama ketika musim cuti sekolah. Kerja ini turut dilakukan oleh golongan tua dan wanita atas dasar untuk menambah pendapatan atau membantu suami menyara keluarga. Sememangnya kerja sambilan wajar dilakukan oleh remaja kerana sudah menjadi satu gaya hidup moden tetapi gaya ini turut mencetuskan pelbagai impak terhadap remaja.
Kerja sambilan ini memberi satu pengajaran berguna kepada remaja dalam kehidupan. Jangka masa yang pendek bersama-sama rakan sekerja dan majikan pasti meninggalkan pelbagai kesan yang menarik. Remaja menyedari betapa kehidupan social memerlukan kemahiran tinggi terutama ketika di tempat kerja. Jadi, pengalaman kerja sambilan menjadi alat untuk menjelaskan erti kehidupan sebenar kepada remaja sebelum mereka benar-benar melaluinya.
Malah, remaja mampu membentuk personality yang menarik menerusi kerja sambilan ini. Tugas di tempat kerja membina jati diri remaja yang baru kerana kerja ini memerlukan mereka menepati masa, rajin bekerja, menurut arahan, dan menggunakan minda ketika berinteraksi dengan pelanggan. Remaja yang dahulunya malas, tiada wawasan,tidak yakin diri dan sebagainya pasti berubah sebaik sahaja mereka bekerja secara sambilan ini.
Sudah pasti kelebihan ketara bekerja secara sambilan ini ialah aspek kewangan. Remaja mempunyai wang mereka sendiri yang memberi sedikit kepuasan dalam hidup. Perasaan mampu membeli sesuatu atas kemampuan kewangan sendiri sememangnya membawa satu perasaan yang tidak dapat dihuraikan. Jelaslah, kerja sambilan memberi satu kepuasan kewangan yang begitu tinggi kepada remaja.
Cuma dalam keghairahan remaja bekerja secara sambilan ini, aspek impak negatifnya harus diberi pertimbangan sewajarnya. Remaja menjadi individu yang terlalu sibuk, mementingkan kewangan, lupa tugas belajar mereka dan mungkin terlalu angkuh sehingga menganggap mereka sudah mampu hidup sendiri tanpa bantuan keluarga. Sikap terlalu rapat dengan rakan sekerja yang lebih dewasa turut mampu menjerumuskan remaja ke arah budaya yang tidak sihat.
Kesimpulannya, kerja sambilan sememangnya wajar dilakukan oleh remaja tetapi harus secara bertanggungjawab. Remaja harus menimbang dengan mendalam sebelum menyertai kerja sambilan. Bukan sahaja kebenaran ibubapa penting tetapi remaja harus bertanya kepada diri sendiri, adakah ini sesuatu yang ingin mereka lakukan? Atau mereka penuhkan masa cuti mereka dengan aktiviti berfaedah yang lain.
Nurul Akmal
No comments:
Post a Comment