Belakangan ini sering berlaku penyalahgunaan medis siber seperti blog, Facebook, Twitter, mahupun e-mel peribadi. Perbuatan ini dilakukan oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Hal seumpama ini bukanlah perkara yang baru di negara kita. Malah, Malaysia pernah digemparkan dengan kes seorang penuntut Malaysia di Korea yang menghina lagu kebangsaan negara kita, iaitu lagu Negaraku.
Kemudahan internet membuka ruang dan peluang yang cukup luas kepada sesiapa sahaja untuk menyebarkan berita palsu. Sementara pemilik blog pula banyak mempunyai pengunjung yang mengunjungi laman blognya. Di sinilah bermulanya komentar sesuka hati termasuk memfitnah tanpa memikirkan impaknya. Idea, ideology, dan propaganda berlegar bebas dalam laman maya untuk mempengaruhi sesiapa sahaja. Lazimnya, maklumat yang berbau negatif akan selalu disukai dan dikunjungi.
Di samping itu, keceloparan penulis blog yang suka mengaibkan individu tertentu semakin menjadi-jadi. Pelbagai bahasa kesat dilontarkan untuk menghentam individu yang tidak disukai. Terdapat juga penulis yang langsung tidak mengira sesiapa, baik pemimpin mahupun pemerintah, malah kedaulatan raja-raja yang diselar dengan kata-kata penghinaan. Dunia maya ini ternyata tidak bersempadan dan tidak mengenal darjat sesiapa sahaja.
Kemajuan teknologi komunikasi sememangnya disifatkan sebagai alat untuk memudahkan urusan manusia. Namun demikian, dalam konteks negara Malaysia yang berbilang kaum, kebebasan di alam siber tanpa sekatan amat berbahaya. Ikatan keakraban masyarakat majmuk akan mudah terungkai jika isu sensitif diganggu-gugat. Hal ini akan meruntuhkan kerukunan, keharmonian, dan keselamatan masyarakat majmuk.
Nurul Akmal
No comments:
Post a Comment