Bidang sastera tanah air sering mengalami pelbagai kekangan yang nenyukarkan sastera ini untuk terus berkembang. Pelbagai pihak menyuarakan pandangan mereka yang cuba menghuraikan punca sastera Negara ini terus dilanda malang. Media massa turut menyiarkan pelbagai rencana yang mengaitkan nasib malang dunia sastera kita dengan pelbagai alasan lain pula. Justeru, penulisan kali ini cuba menghuraikan pelbagai kekangan yang membawa industri sastera kita tidak berupaya untuk berkembang dengan baik.
Sudah pasti faktor utama yang menyebabkan industri sastera kita tidak boleh berkembang disebabkan jumlah pembaca sastera di negara kita begitu rendah. Keadaan ini menyebabkan tidak banyak penulis sastera yang boleh menjadikan kerja menulis itu sebagai satu sumber pendapatan yang baik buat mereka. Jumlah pembaca yang rendah menjadikan potensi sastera untuk menjadi satu peluang perniagaan yang menguntungkan buat seseorang telah memalapkan lagi bidang ini. Oleh itu, bidang sastera tidak berkembang di Malaysia kerana kita tidak mempunyai jumlah pembaca yang cukup banyak.
Malah, ketiadaan jumlah pembaca yang banyak menyebabkan semua buku sastera terbitkan tempatan tidak mampu dijual pada harga yang murah. Keadaan ini menjadikan pembelian buku sastera dilihat sebagai sesuatu pembelian yang mahal nilainya lalu tidak ramai yang sanggup menghabiskan wang pula. Harga yang mahal inilah yang menyebabkan budaya sastera kita tidak akan berkembang dengan baik pada masa hadapan. Justeru, kos harga buku sastera yang terlalu mahal telah menghalang sebarang minat untuk mendekati sastera tempatan daripada berputik dalam jiwa masyarakat kita.
Bukan sahaja kekurangan pembaca dan harga buku sastera yang mahal tetapi kemunculan pelbagai teknologi baru dalam bidang permainan video telah memberikan satu tamparan terhadap dunia sastera kita. Golongan remaja lebih suka untuk menghabiskan masa mereka dengan bermain permainan video yang grafiknya lebih menarik dan mengasyikkan itu. Masyarakat tidak lagi memandang buku-buku atau bahan sastera dengan pandangan yang bermakna setelah mereka menghabiskan masa dengan bermain permainan video yang moden ini. Jelaslah, kewujudan teknologi moden terutama permainan video telah menjadikan dunia sastera kita terus mengalami kemalapan yang ketara.
Malah, sikap ibu bapa yang memandang sepi kepentingan sastera dalam kehidupan anak mereka telah membawa kurangnya minat membaca. Berapa keratkah ibu bapa kita yang menghadiahi anak mereka buku sastera setiap kali hari lahir anak mereka muncul? Kalau anak tidak dididik sejak kecil untuk membaca seperti ungkapan peribahasa melentur buluh biarlah daripada rebungnya, sudah pasti mereka tidak akan minat untuk membaca apabila dewasa kelak. Sesungguhnya, kegagalan ibu bapa untuk memupuk amalan membacatelah membawa kesukaran untuk dunia sastera kita berkembang dengan baik.
Kesimpulannya, semua halangan yang dijelaskan tadi telah menyebabkan bidang sastera tempatan mengalami zaman melesetnya. Kerjasama semua pihak terutama remaja akan diperlukan untuk memastikan sastera terus mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat kita. Kegagalan untuk memberikan kerjasama ini bakal menyaksikan dunia sastera kita terus hilang ditelan zaman begitu sahaja. Peribahasa “tak lapuk dek zaman, tak lekang dek panas” memberikan kita satu peringatan bahawa sastera negara harus dipantau supaya budaya itu tidak akan hilangan begitu sahaja.
Nurul Akmal
No comments:
Post a Comment