Pujuan terhadap pelajar masih wujud dalam kalangan guru yang mengajar. Walaupun demikian, ada juga yang beranggapan bahawa pujian akan menyebabkan pelajar menjadi bongkak, lupa diri, dan akhirnya mengganggu pelajaran mereka. Tindakan seperti mengugut, memarahi, serta memberikan amaran pula dikatakan hanya berkesan bagi memastikan pelajar belajar serta berjaya dalam pelajaran mereka sahaja.
Amalan memberikan pujian merupakan cara yang paling berkesan bagi mengubah tingkah laku pelajar. Pujian yang diberikan secara psikologi kepada para pelajar jika dilakukan dengan cara yang betul akan menjadi kaedah yang berkesan dan dapat mempengaruhi tindakan, pemikiran, serta sikap mereka. Ramuan yang betul dalam memberikan pujian seperti pemilihan bahasa yang tepat akan dapat meningkatkan tingkah laku pelajar ke arah yang lebih positif.
Kadangkala pujian yang diberikan tidak begitu berkesan walaupun dilakukan secara berulang kali. Oleh itu, bagi membolehkan tingkah laku positif yang berkekalan dapat dicapai, maka pujian secara berterusan, berkualiti, dan ikhlas perlu dilakukan oleh guru. Di luar kelas pula, guru yang memberikan pujian kepada pelajar yang melakukan perkara yang baik seperti membuang sampah ke dalam tong sampah dianggap sangat berkesan.
Ada juga pujian yang dapat dilakukan dengan menulis sesuatu di dalam buku latihan atau kertas jawapan pelajar. Hal ini dapat difahami bahawa pujian tersebut membolehkan pelajar mendapat hubungan yang terus dengan gurunya. Pujian dapat meningkatkan keyakinan pelajar juga.
Pujian yang melibatkan soal kuantiti dan kualiti jika selalu digunakan secara berkesan akan meningkatkan pembangunan positif pelajar. Pujian yang baik adalah yang dilengkapi sentuhan atau tingkah laku, misalnya senyuman. Pujian sedemikian mengakrabkan hubungan antara guru dengan pelajar. Sebenarnya pujian yang diberikan oleh guru masih kurang daripada apa-apa yang diharapkan oleh pelajarnya. Oleh itu, jika guru memulakan pujian terhadap pelajar, nescaya suatu hari nanti pelajarnya akan murah dengan pujian pula.
No comments:
Post a Comment