Jabatan Kebajikan Masyarakat telah diwujudkan dengan tujuan membantu kerajaan menangani masalah dalam masyarakat terutama berkaitan dengan kebajikan sosial mereka. Banyak masalah sosial yang wujud di negara ini seperti anak yatim piatu, kes anak angkat dan golongan miskin serta warga emas memerlukan penjagaan pihak tertentu. Pihak media massa telah acap kali menyiarkan berita tentang penglibatan jabatan ini dalam membantu golongan yang bermasalah ini. Oleh itu, pelbagai tugas telah dilaksanakan oleh jabatan ini.
Peranan yang ketara ialah jabatan ini memberikan bantuan kewangan kepada kanak-kanak miskin untuk meneruskan persekolahan mereka. Bukan sahaja wang saku diberikan tetapi bantuan buku dan bayaran yuran peperiksaan dilaksanakan oleh jabatan ini dengan baiknya. Pemberian ini banyak dikaitkan dengan kepentingan pendidikan dalam kehidupan seseorang itu terutama pada masa hadapan atau memberikan golongan ini satu cahaya dalam mengharungi kehidupan yang penuh cabaran itu. Jadi, jabatan ini memberikan bantuan kewangan kepada kanak-kanak miskin untuk bersekolah.
Selain itu, jabatan ini turut memberikan perlindungan kepada kanak-kanak yang teraniaya. Biasanya, kes-kes penderaan menjadi punca kanak-kanak teraniaya di negara ini selain ketiadaan penjaga akibat kematian atau sebab-sebab lainnya. Kanak-kanak ini akan diberikan tempat tinggal, makan minum dan semua keperluan harian lagi untuk memastikan kehidupan mereka lebih terjamin sama seperti mereka memiliki ayah dan ibu pula. Oleh itu, jabatan ini memberikan perlindungan pula kepada golongan yang teraniaya.
Jabatan ini juga turut membantu golongan warga emas dengan memberikan golongan ini tempat berteduh yang baik. Kebanyakan warga tua yang tidak mempunyai apa-apa ini akan ditempatkan di rumah orang tua oleh jabatan ini. Di rumah orang tua inilah golongan warga emas boleh bergaul mesra dengan rakan-rakan senasib selain diberi perhatian perubatan dan keperluan kehidupan lain oleh pekerja-pekerja jabatan ini. Jelaslah, nasib warga tua turut diambil berat oleh jabatan ini dengan memberikan mereka tempat berteduh di rumah orang tua.
Malahan, pihak jabatan ini turut menghulurkan bantuan kepada golongan kurang upaya dan cacat di negara ini. Bantuan yang diberikan biasanya dalam bentuk latihan untuk memudahkan golongan ini memperoleh pekerjaan atau mencari rezeki dengan lebih mudah. Satu jumlah elaun yang tertentu juga diberikan kepada golongan ini untuk memudahkan mereka meneruskan kehidupan pula. Sesungguhnya, jabatan ini telah memberikan banyak bantuan kepada golongan cacat dan kurang upaya di Malaysia supaya kehidupan mereka lebih baik.
Kesimpulannya, Jabatan Kebajikan Masyarakat memainkan peranan yang begitu besar dalam perbangunan rohaniah rakyat negara ini. Jabatan ini berusaha untuk memastikan semua lapisan rakyat Malaysia menerima perhatian dan penjagaan sosial yang sewajarnya. Lantaran itu, kerjasama semua pihak terutama pihak swasta dalam memberikan sumbangan kewangan amat diperlukan dalam memastikan semua program jabatan ini berjalan lancar. Tanpa kewujudan jabatan ini kemungkinan kebaijkan rakyat kita akan terabai.
Nurul Akmal
terbaik
ReplyDelete